Headlines News :
Home » » Gaza menangis, di mana umat Islam?

Gaza menangis, di mana umat Islam?

Written By zabidi on Monday 14 July 2014 | July 14, 2014

Oleh KHALIS IBRAHIM 


ASIA Barat adalah wilayah yang paling kuat dilanda kecamukan sejak penjajahan imperialis Barat. Setelah tumbangnya kerajaan Turki Uthmaniyah, negara-negara jajahan empayar Islam yang terakhir itu dibahagi oleh rejim Barat melalui Perjanjian Sykes-Picot.

Disamping bertujuan memecahkan tanah jajahan empayar Uthmaniyah kepada kuasa-kuasa besar Barat ketika itu, ramai pengamat politik berpendapat perjanjian tersebut juga meletakkan objektif penubuhan sebuah negara baru bagi menempatkan pelarian Yahudi. Rentetan dari itu, wujudnya Israel sebagai negara baru hasil rampasan tanah milik rakyat Palestin.

Sehingga hari ini, Israel menjadi agenda terpenting dasar luar “polis dunia” Washington khususnya mengenai keselamatan negara haram tersebut. Keberadaan PBB sejak ditubuhkan pasca perang dunia juga bagi memastikan keutuhan strategik negara tersebut.

Menariknya mengenai Israel ialah mengenai kedudukannya di rantau Asia Barat. Dikelilingi negara-negara majoriti umat Islam termasuklah Lubnan, Jordan, Syria dan Mesir.

Ini bermaksud, jika negara-negara Arab yang mengepung Israel dari sudut geografi itu bersepakat untuk menekan Israel dari sudut tekanan politik mahupun ketenteraan, Zionis bakal menghadapi kesusahan.

Bantuan kemanusiaan ke Gaza lebih banyak datangnya dari sukarelawan Eropah dan jauh di timur Asia termasuk Malaysia.

Negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin sudah terbuai dengan konflik politik negara mereka yang tidak berkesudahan.

Hakikatnya, negara Arab mampu berhadapan dengan Israel jika mereka mahu. Malah, mereka juga mampu berganding bahu bagi melawan musuh yang satu sungguhpun wujud kepentingan bagi beberapa negara.

Sejarah pernah mencatatkan dalam Perang Arab-Israel 1973, Mesir mampu bekerjasama dengan Syria bagi merampas semula tanah yang dirampas Israel.

Pakatan itu turut dibantu oleh negara Arab lain seperti Iraq yang menghantar satu divisyen besar terdiri daripada 18,000 orang tentera.

Walau bagaimanapun, Perang Arab-Israel hanyalah sebuah sejarah. Hari ini negara-negara Arab sedang mengalami konflik politik dalaman yang kian meruncing.

Seakan-akan mengalami satu perancangan rapi umpama domino, negaranegara Arab menjadi lebih kacau-bilau dalam pasca Arab Spring dan menuju ke arah negara yang gagal.

Dalam isu kedaulatan Palestin, kewujudan kesatuan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Liga Arab yang sepatutnya memikirkan jalan penyelesaian hanyalah tampalan kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Konflik di Palestin merupakan “multi-issues” melibatkan isu keagamaan, kemanusiaan, politik serantau serta ekonomi jauh merentasi lingkungan mazhab dan perkauman sempit.

Semua menyedari akan pencerobohan Zionis ke atas Palestin. Kerana itulah, kumpulan Hamas yang sunni boleh meminta jasa Iran sebagai republik Syiah yang mempunyai kekuatan ketenteraan bagi memberi tekanan kepada Israel dan menyokong perjuangan fraksi penentang di Palestin.

Namun, ini tidaklah bermaksud umat Islam perlu mengharapkan bantuan dari “orang luar” sahaja.
Mereka perlu berdiri dengan kaki sendiri serta saling melengkapi dan membantu dalam isu Palestin.

Menteri Pendidikan Palestin, Sheikh Ahmed Al-Najjar dari parti Hamas pernah menyebut dalam satu wacana; “Rakyat Palestin tidak mengimpikan bantuan ketenteraan dari negara umat Islam. Kami sudah ada barisan pejuang yang komited dan cintakan syahid.

“Kami juga tidak memaksa bagi meminta bantuan dari sudut material.

Namun, apa yang kami sangat dambakan daripada kamu wahai umat Islam ialah doa kerana ia senjata dan bantuan paling ampuh.”
Pada bulan mulia yang pernah mencatatkan 313 tentera kebenaran menumpaskan 1,000 tentera kebatilan, janganlah kita lupa untuk mendoakan kesejahteraan serta kemenangan mereka di sana.

>> Penulis merupakan mahasiswa Fakulti Sains, Universiti Malaya dan ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER