“Seingat Rumi, abang Awi selalu senyum sahaja. Kalau Rumi marah-marah abang Awi ketika bermain dengannya, dia cepat-cepat pujuk Rumi. Dia tetap juga menguntum senyum. Wajahnya tenang.”

“Ya, Bonda rindu akan senyumannya.”

Bonda selalu bercerita tentang abang Awi kepada saya ketika duduk santai kala petang hari. Setiap kali jika berpeluang, Bonda akan bercerita tentang abang Awi, cuma beberapa fragmen kisah yang diceritakan tidak saya ingati. Maklumlah ketika itu saya masih kecil. Seingat saya hubungan kami seperti adik-beradik yang sangat rapat. Setiap kali bonda bercerita, setiap kali itulah telinga saya bersedia menadah segala kisah tentang abang Awi. Aneh, saya tidak pernah sesekali berasa jemu mendengar biarpun sesekali bonda mengisahkan kisah yang sama. Dan kini saya sudah meningkat remaja, kisah-kisah abang Awi masih mesra di telinga saya. Dan bonda masih selesa bercerita sambil mengunyah pinang dan sirih. Sayalah yang mengacipkan buah pinang sebelum diberikan kepada bonda. Seolah-olah, kunyahan sirih yang disapu sedikit kapur dan dimakan buah pinang itu memberi kuasa luar biasa untuk dia bercerita.

Kira-kira beberapa tahun ke belakang, saya sekeluarga dan beberapa lagi keluarga tinggal di Negeri Silam, sebuah wilayah Melayu yang permai. Kami membina teratak cinta dan menyemai benih-benih cita di sini. Sebuah penempatan Melayu yang persekitarannya begitu sinonim dengan sosiobudaya Melayu. Wajah abang Awi yang persis orang Arab itu masih jelas terbayang dalam minda saya walaupun hakikatnya jati abang Awi ialah Melayu. Hidupnya begitu murah dengan rezeki serta sentiasa di senangi oleh Negeri Silam. Kata bonda, penduduk di Negeri Silam mempunyai pertalian darah dengan abang Awi termasuk kami dan kerana itulah dia begitu akrab dengan masyarakat di situ.

Setelah saya dewasa, beberapa persoalan tentang abang Awi menghurungi kepala saya. Oh kalian tidak nampak persoalan yang menghurung kepala saya, hanya saya sahaja yang merasainya. Jangan pula sampai ada yang membayangkan kepala saya dipenuhi tanda soal seperti dalam cerita kartun di televisyen.

“Bonda, siapakah sebenarnya keluarga abang Awi? Bonda tidak pernah pula berceloteh tentang keluarganya.”

“Rumi, kitalah keluarganya.”
“Benarkah, bonda?”
“Benar. Kita ialah ahli keluarganya dan seluruh penduduk di Negeri Silam ialah ahli keluarganya juga.”
“Mengapa kita tidak membawa abang Awi tinggal bersama kita?”

Setelah diajukan soalan itu, Bonda memandang anak mata saya dan air mata jernih bonda mengalir diam. Saya tidak lagi mengaju tanya. Saya lihat bonda mengambil masa menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan. Lembut.

“Sewaktu seluruh penduduk Negeri Silam dikehendaki berpindah ke sini, satu senarai nama telah dikeluarkan dan nama abang Awi kamu tiada dalam senarai. Nama-nama yang disenaraikan wajib untuk berpindah ke Negeri Sekarang.”

“Abang Awi seorang sahaja ke, bonda?”

“Tidak, nama Tok Mat juga tiada dalam senarai nama tersebut. Berdasarkan cerita-cerita yang merayap dari Negeri Silam sehingga ke sini, Tok Matlah yang menjaga abang Awi kamu di sana.”

“Kenapa nama mereka tiada dalam senarai? Mengapa mereka tidak dibenarkan berpindah bersama kita? Muslihat apakah yang berselidung?” Soalan saya yang bertalu-talu dibalas dengan renung tajam bonda. Jeda.

“Ketika hendak berpindah ke Negeri Sekarang, satu akta baharu diwujudkan dan hanya sesiapa yang namanya tercatat dalam senarai sahaja yang dibenarkan berpindah ke Negeri Sekarang dan ketika itu kami tidak mempunyai pelajaran untuk menentang segala yang menghalang. Sayang seribu kali sayang.”

Saya mengangguk, mengerti setiap butir bicara bonda. Saya lihat matanya berkaca-kaca.
“Rumi, pergilah ke Negeri Silam dan bawalah abang Rumi kamu ke sini untuk terus mengecap nikmat hidup bersama-sama kita di Negara Sekarang sebelum masa terlalu jauh meninggalkan kita dengan segala penyesalan. Pelawa sekali Tok Mat untuk tinggal bersama-sama kita. Dia penyantun budaya yang perlu kita hormati. Hatinya tidak boleh dilukai lagi. Jasanya membela abang Awi kamu selama ini perlu kita hargai.”

Awan yang bersilih ganti berkepul di langit Negeri Sekarang menjadi saksi pelangi yang akhirnya menyeri di tempat kami. Bonda dan penduduk Negeri Sekarang bersepakat memperjuangkan agar akta baharu digubal semula agar abang Awi dan Tok Mat dibenarkan menetap di Negeri Sekarang.

Masa lalu adalah suatu kesilapan yang perlu diperbetulkan. Takut-takut generasi mendatang menyalahkan kita pada zaman sekarang yang tidak membela nenek moyang.

II

Perjalanan saya mencari abang Awi bermula dengan restu bonda dan restu itulah yang mengiringi setiap langkah saya. Akta baru di Negeri Sekarang juga mempelawa abang Awi dan Tok Mat segera dibawa pulang. Berdiri di pintu, bonda melambai harap nan bersayap seribu agar pencarian saya dipermudahkan, sekali gus dapat membawa abang Awi dan Tok Mat pulang untuk terus tinggal bersama-sama kami di Negeri Sekarang.

Matahari yang bangun sejak awal pagi turut tersenyum memberi pengharapan baru pada sebuah kehidupan yang bakal tercipta. Syukur, saya dikirimkan malaikat oleh Tuhan untuk menjaga saya sepanjang saya mengembara, selama beberapa jam dalam perjalanan menuju Negeri Silam yang pernah saya sekeluarga diami suatu ketika dahulu.

Syukur, Tuhan makbulkan doa suci bonda, akhirnya saya dapat menghirup udara di Negeri Silam semula. Kesunyian menyambut ketibaan saya di Negeri Silam. Angin yang menyusur lalu turut membisik-bisik keanehan di telinga saya. Mustahil Negeri Silam sudah tidak berpenghuni, tambahan pula persekitarannya tampak rapi dihiasi mekar bunga raya yang merah menyala. Mungkin abang Awi dan Tok Mat menghadiri rewang majlis kenduri di wilayah berdekatan. Saya cuba berprasangka baik. Lagipun, misi mencari abang Awi dan Tok Mat baru sahaja bermula dan tidak semudahnya saya mengaku kalah.

Saya mengorak langkah, menghirup kembali udara Negeri Silam yang pernah saya rasai suatu ketika dahulu. Saya melewati sungai yang pernah saya puja dingin airnya. Saya tersenyum sendiri apabila memandang sungai yang mengalir di bawah daripada atas titi papan yang masih kukuh. Saya seolah-olah melihat kembali kelibat saya dan abang Awi sedang riuh bermain air sungai itu. Oh, indah sungguh kehidupan di sini suatu ketika dahulu.

Ketika tersenyum seorang diri melihat gelagat saya dan abang Awi yang bergentayangan, saya disapa seseorang dan saya kembali kepada alam nyata, dunia sebenar yang tiada lagi abang Awi dan saya ketika kecil yang begitu asyik bermain air sungai.

“Cucu, kelihatannya kamu seperti orang luar yang bertandang ke sini.”

“Tok, sebenarnya asalnya dahulu saya dan keluarga orang sini.”

“Oh kamu pasti penduduk asal Negeri Silam yang telah berpindah ke Negeri Sekarang, bukan?”

“Ya, saya kembali ke sini mencari abang Awi dan Tok Mat.”

“Abang Awi kamu terlantar di hospital. Pergilah ke sana melawatnya. Keadaannya sangat tenat.”
“Tok, sememangnya memang tiada orang lain yang menginap di sini? Mustahil selepas kami semua diwajibkan berpindah ke Negeri Sekarang, hanya tinggal abang Awi dan Tok Mat sahaja di sini.”
“Benar, hanya tinggal Awi dan Tok Mat sahaja di sini dan merekalah yang menjaga damai Negeri Silam dari segala cela sejak dahulu.”

“Dan siapakah pula insan yang berbicara di hadapan saya ini yang begitu berseri-seri wajahnya?”
Orang tua berserban serta berjubah putih itu menjawab soalan saya dengan manis senyuman, lalu menundukkan kepalanya. Dia berpaling dan terus menyusup ke dalam hutan berhampiran. Hilang.

Anehnya orang tua itu. Sejak menjejakkan kaki ke sini harus saya akui bahawa keanehan melata-lata di sini. Tanpa terus memikirkan keanehan yang menghantui, saya menyusun langkah ke hospital mencari abang Awi. Hati saya mula berdegup kencang apabila mengetahui abang Awi sedang bertarung nyawa di hospital. Kebimbangan mula tumbuh melata di jiwa serta minda mengatasi rasa keanehan yang turut sirna tiba-tiba.

III

“Doktor, bagaimana keadaan abang saya?”

“Awak adik kandung kepada pesakit?”

“Ya, dia memang abang saya. Dahulu, kini dan selamanya.” Pada wajah doktor terpamer kepelikkannya terhadap jawapan saya. Sebenarnya sukar untuk saya rungkaikan salasilah kami, jadi saya kira itu jawapan yang terbaik.

“Keadaan dia terlalu tenat. Kita serahkan segalanya kepada Tuhan yang Maha Hebat. Dan kalau boleh, tolong sampaikan kepada keluarga terdekat sebelum penghujungnya tiba dan seluruh legasi bangsa tanpa sudah akan sesal meratap.”

Jawapan daripada doktor benar-benar membuatkan jantung saya hampir luruh. Saya mengalih pandang dari tajam mata doktor pada keadaan abang Awi yang terbaring kaku. Entah mengapa, ketika itu, terasa sangat sayu melihat matanya yang kuyu. Saya tahu, dalam diamnya dia masih berharap orang yang terdekatnya hadir meniup semangat. Terasa berdosa juga membiarkan abang Awi dan Tok Mat hidup di Negeri Silam dan sebelum ini kami tidak pernah kembali ke Negeri Silam untuk menjenguk mereka. Rasa bersalah itu teradun bersama rindu yang memberat di jiwa. Tanpa saya sedar, air mata saya menitis mengenai jari-jemari tuanya.

Sejak hari itu, saya menjaga abang Awi di hospital. Saya terkenangkan bagaimana sebelum ini ketika saya masih kecil abang Awi berperanan seperti abang kandung saya, menjaga saya dengan penuh kasih. Dan kini tibalah giliran saya membalasnya dan semoga hayatnya masih panjang, sesungguhnya saya, bonda dan seluruh penduduk Negeri Sekarang merindui senyuman dan segala-galanyanya tentangnya. Biarpun hanya ada saya serta abang Awi di dalam wad ini dan sesekali doktor dan jururawat menjenguk serta memeriksa keadaan kesihatannya, saya tidak berasa sunyi menemani abang Awi kerana kekadang, kisah-kisah yang bonda kisahkan pada saya turut bersama-sama menemani saya di ruang bilik ini.

Doktor yang merawat abang Awi juga saya golongkan sebagai perkara yang aneh sebaik-baik menjengah ke Negeri Silam. Sebaik-baik sahaja dia memeriksa keadaan abang Awi pada malam itu, dia ajak saya untuk minum kopi di kafeteria. Bukankah agak luar biasa perangainya. Jika ada sesuatu yang ingin dibincangkan, pasti doktor akan mengajak kita berbincang di biliknya sahaja.
“Kenapa doktor mengajak saya minum kopi pada waktu malam begini? Saya kira ia sungguh aneh.”

“Oh, saya juga manusia biasa. Saya bukannya makhluk asing yang berperwatakan aneh. Sesekali mahu juga saya mendekati pesakit dan keluarga pesakit." Doktor muda ini begitu ramah orangnya dan bicaranya diteruskan lagi.

“Sebenarnya kamu yang telah membawa keanehan ke sini.” Saya pula terkejut apabila disabitkan dengan perkataan ‘keanehan’.

“Saya tidak faham maksud tersirat yang cuba doktor sampaikan.”

“Masihkah kamu ingat pada hari pertama kamu ke sini? Ketika itu saya khabarkan abang kamu sudah berada dalam keadaan yang terlalu tenat. Dan ketika itu juga segala yang ada hanya doa kerana jasad abang kamu tidak memberi sebarang tindak balas positif terhadap ubat dan rawatan yang kami berikan. Namun, sejak kamu hadir, keanehan tiba-tiba bertebaran di wad abang kamu. Sebenarnya keadaan abang kamu semakin baik sejak kamu hadir dan saya rasa sehari dua lagi dia akan sedar dari lenanya yang panjang.”

Jelas kebahagiaan terpancar di wajahnya sebagai seorang doktor yang merawat. Saya kira bukan keanehan yang bertebaran tetapi tulus doa tanpa putus oleh mereka yang mendoakan kesejahteraan abang Awi didengari Tuhan.

Sebelum malam itu berakhir, saya berbisik-bisik di cuping telinga abang Awi dengan penuh rasa kasih.

“Selamat malam abang Awi. Semoga lekas sembuh kerana matahari esok masih belum berputus asa berharap untuk menyapamu pada setiap pagi.”

IV
Negeri Silam bukanlah sebuah negeri yang lucu hanya kerana didiami oleh dua orang manusia sahaja iaitu abang Awi dan Tok Mat, tetapi sebuah negeri permai yang tidak sunyi daripada suara-suara kebenaran tradisi. Negeri Silam diwakafkan kepada Sang Sejarah yang jujur dan setia pada masa. Sang Sejarah melempar senyum bahagia pada kami ketika langkah kami mula diatur. Sebelum melangkah pergi meninggalkan Negeri Silam abang Awi berjanji untuk membawa saya bertemu Tok Mat.

“Rumi, sebenarnya Tuhan lebih menyayangi Tok Mat. Yang masih bernyawa ialah semangatnya melesta-ri budaya.” Dan saya tertanya-tanya jika Tok Mat telah pergi terlebih dahulu dan sesungguhnya Negeri Silam hanya didiami abang Awi dan Tok Mat, siapakan gerangan orang tua yang menyapa saya di sungai sebelum ini?

Saya biarkan soalan aneh itu gugur bersama derap langkah yang kian menjauh meninggalkan pusara Tok Mat.

Saya dan abang Awi menoleh buat kali terakhir pusara Tok Mat sebelum meneruskan perjalanan ke Negeri Sekarang. Wangi kemboja dan surah al-fatihah yang suci menenteramkan suasana.