Orang Cina pula dengan kisah seorang raja yang baik hati dari zaman Tiga Kerajaan, iaitu pengasas kerajaan Shu, Liu Bei yang amat terkenal dengan kebijaksanaannya. Begitu juga dengan kisah Lu Bu yang dianggap jeneral perang yang handal.

Dalam masyarakat Melayu, Hang Tuah dianggap sebagai wira dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang. Bagaimanapun kedua-dua naskhah klasik itu bukanlah buku sejarah yang menunjukkan Hang Tuah benar-benar wujud pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Tetapi ini tidak bermakna naskhah klasik berkenaan tidak berperanan dalam konteks antropologi dan sosiologi kepada generasi masa kini.

Oleh yang demikian kedua-dua naskhah klasik yang Hang Tuah tercatat di dalamnya adalah lebih besar berbanding Hang Tuah sebagai wira di alam realiti. Baru-baru ini timbul kembali polemik kitar semula mengenai dakwaan Hang Tuah benar-benar wujud. Terdapat beberapa tokoh akademik menghabiskan begitu banyak masa semata-mata untuk membuktikan Hang Tuah Tuah sememangnya wujud.

Pada masa yang sama terdapat pula dalam kalangan ahli akademik yang dan tokoh sejarah menganggap Hang Tuah sekadar watak dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Hujah mereka, dari sudut sejarah tidak ada satu bukti yang boleh dipegang untuk menunjukkan Hang Tuah satu fakta sejarah. Begitu juga dengan kewujudan puteri dari China bernama Puteri Hang Li Po yang tidak tercatat dalam sejarah di China.

Tokoh sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim dalam beberapa pembentangannya sebelum ini tidak menganggap Hikayat Hang Tuah sebagai satu catatan sejarah. Ini kerana tidak terdapat fakta-fakta sejarah yang boleh dikaitkan dengan Hang Tuah walaupun dikatakan pada abad ke 14 di Melaka.

Walaupun Hang Tuah bukan satu sejarah tetapi ini tidak bermakna Hikayat Hang Tuah tidak bernilai dalam konteks sosial dan budaya khususnya bagi orang Melayu. Nilai naskhah klasik ini melampaui penemuan terkini sekiranya disahkan bahawa Hang Tuah memang wujud. Sama ada wujud atau tidak, naskhah klasik itu tetap bernilai tinggi untuk melihat psikik orang Melayu pada zaman silam.

Oleh kerana itu, penyelidikan, kajian dan debat yang panjang tentang kewujudan Hang Tuah tidak menguntungkan dalam pengembangan ilmu budaya dan sosial. Mengkaji untuk membuktikan bahawa dinosaur benar-benar wujud jauh lebih bermanfaat berbanding membuktikan kewujudan Hang Tuah. Debatnya pula tidak mencambahkan tafsiran-tafsiran baharu kerana kewujudan Hang Tuah adalah suatu yang statik, sedangkan mengkaji naskhah klasik Hikayat Hang Tuah itu suatu yang dinamik.

Pedoman

Katakanlah akhirnya memang benar Hang Tuah benar-benar wujud dan bukan mitos seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak, apakah penemuan ini boleh memberikan manfaat kepada generasi hari ini? Lekeh sangatkah orang Melayu sekarang hingga terpaksa menghabiskan begitu banyak masa, tenaga dan wang untuk membuktikan Hang Tuah sebenarnya wira orang Melayu?

Orang Melayu sekarang tidak perlu bertenggek di atas kehebatan “luar biasa” Hang Tuah sebaliknya memetik sekian banyak iktibar dan petunjuk daripada kedua-dua naskhah klasik itu sebagai pedoman untuk membina masa depan. Misalnya dalam konteks semasa, kata-kata hikmat, “Melayu tidak hilang di dunia” yang dikatakan diucapkan oleh Hang Tuah sudah tidak relevan. Buktinya Melayu memang wujud di dunia. Bagaimanapun wujud Melayu tidak bermakna sekiranya tidak dipertahankan ciri-ciri yang menunjukkan identiti Melayu seperti budaya dan bahasa. Untuk apa yang wujud hanya jasad Melayu tetapi bukan lagi jati diri?

Sebaik-baiknya masa yang diberikan kepada kerja-kerja membuktikan kewujudan Hang Tuah dialih kepada mengkaji kedua-dua naskhah klasik yang berkaitan dengan Hang Tuah. Penemuan daripada kajian ini boleh memberikan banyak manfaat kepada rakyat kerana ternyata banyak lagi yang belum digali daripada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Tanpa menafikan kemungkinan Hang Tuah sebenarnya wujud tetapi tumpuan ahli akademik perlu kepada perkara yang lebih besar dan menyumbangkan sesuatu kepada generasi masa kini dan akan datang.

Hikayat Hang Tuah telah menjadi ilham kepada pembuat filem, teater dan karya lagu. Pengarah filem dari India, Phandi Majundar mengarahkan filem Hang Tuah yang dilakonkan oleh P. Ramlee dan Ahmad Mahmud pada era kegemilangan filem Melayu di Singapura. Filem ini mengangkat Hang Tuah sebagai wira. Tidak lama selepas itu pengarah Hussein Hanif mengarahkan filem Hang Jebat lakonan M. Amin yang mengangkat Hang Jebat sebagai wira.

Secara perbandingan, filem Hang Jebat jauh lebih baik isi kandungan, pemikiran dan tafsiran-tafsiran baharu daripada Hikayat Hang Tuah. Sementara filem arahan Phandi Majundar seperti mengindiakan Hikayat Hang Tuah dan tidak ada tafsiran baharu daripada sumber asal.

Sasterawan Negara Usman Awang menghasilkan naskhah teater, Matinya Seorang Pahlawan yang mengangkat Hang Jebat sebagai pahlawan. Ini juga satu tafsiran baharu yang sangat dinamik daripada Hikayat Hang Tuah. Maknanya dalam Hikayat Hang Tuah, yang wiranya boleh jadi Hang Tuah yang menjadi pengampu raja dan boleh jadi juga Hang Jebat yang menuntut keadilan.

Pengarah filem U-Wei Haji Saari pernah mementaskan teater Wangi Jadi Saksi juga diilhamkan dari Hikayat Hang Tuah dengan tafsiran baharu bahawa yang membunuh Hang Jebat adalah Patih Karma Wijaya bukannya Hang Tuah. Peristiwa itu disaksikan oleh Dang Wangi. Tetapi di depan rakyat, Hang Tuah mengaku membunuh Hang Jebat yang dianggap penderhaka oleh Sultan Melaka.

Inilah bukti dinamiknya Hikayat Hang Tuah. Inilah yang perlu terus dikaji dan bukannya membuktikan Hang Tuah sebenarnya wujud.
Dalam sosiobudaya dan politik, watak Hang Tuah dan Hang Jebat memang wujud dalam kalangan politikus termasuk di negara ini. Semua ini membuktikan naskhah klasik itu mempunyai nilai yang tidak pernah surut dan terus relevan dengan semua zaman. Maka kajilah Hikayat Hang Tuah dan tidak perlu terus mencari Hang Tuah.