Headlines News :
Home » » Kuasa beli semakin kecil tahun ini

Kuasa beli semakin kecil tahun ini

Written By zabidi on Tuesday 19 January 2016 | January 19, 2016

Oleh Mutazar Abd Ghani 

KECUALI penurunan harga runcit petrol dan diesel pada tanggal 1 Januari lalu, tahun baharu 2016
tidak banyak membawa sinar ceria untuk negara amnya dan rakyat khasnya, dalam mengharungi tempoh 12 bulan akan datang.

Penyusutan berterusan harga minyak mentah global yang menyaksikan harga minyak mentah Brent menjunam ke paras terendah dalam tempoh lebih sedekad pada AS$32.16 setong pada Khamis minggu lalu, telah menjejaskan dengan ketara pendapatan negara pengeksport komoditi itu, termasuk Malaysia.

Difahamkan, kejatuhan setiap AS$1 setong dalam harga minyak dunia akan menyebabkan negara mengalami penyusutan dalam pendapatan hasil komoditi itu sebanyak RM300 juta.

Bayangkan berapa jumlah penyusutan hasil pendapatan kerajaan daripada hasil minyak selepas harga minyak mentah Brent menjunam daripada AS$98.94 setong pada 2014, kepada sekitar AS$33 setong pada masa ini.

Bagi rakyat pula, kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tambang pengangkutan awam dan tol serta penurunan nilai ringgit yang menyumbangkan kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, terus menghimpit poket orang ramai.

Dengan jangkaan prestasi ekonomi negara dan sektor perniagaan berterusan lembab, sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang, pastinya ia memberi kesan kepada orang ramai terutama pekerja sektor swasta dari segi pemberian bonus, kenaikan gaji, kenaikan pangkat, hatta pemberhentian tenaga kerja, terutama bagi sektor minyak dan gas.

Ini bersandarkan keputusan kewangan syarikat tersenarai yang kurang memberangsangkan setakat suku kewangan berakhir 30 September 2015, yang menyaksikan tidak banyak syarikat yang mencatatkan peningkatan keuntungan, malah tidak kurang pula yang melaporkan kerugian.

Selain itu, prestasi kurang memberangsangkan Bursa Malaysia yang menyaksikan Indeks FBM KLCI menyusut lebih 100 mata daripada 1,761 mata ketika penutup 31 Disember 2015 kepada 1,657.61 pada penutup Jumaat lalu, turut dijangka menjejaskan kadar pemberian bonus/dividen oleh syarikat pengurus dana saham amanah.

Jika mengambil kira pemberian dividen dan bonus bagi dua saham amanah utama negara iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) hujung bulan lalu, yang masing-masing berkurangan berbanding tahun sebelumnya, tentu agak sukar untuk kita mengharapkan pemberian bonus dan dividen yang lebih tinggi tahun ini daripada KWSP, Tabung Haji dan sebagainya.

Bersandarkan senario peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta jangkaan pertambahan pendapatan yang tidak `semewah' seperti tahun sebelum ini, ia bermakna pendapatan boleh guna atau kuasa beli orang ramai juga dijangka semakin mengecil tahun ini.

Justeru, keadaan ini memerlukan orang ramai membuat perancangan bajet yang benar-benar teliti untuk setiap sen wang yang bakal dibelanjakan tahun ini agar bajet tidak `bocor' atau lebih parah menjadi defisit bajet yang besar, dengan peningkatan jumlah hutang. Ini juga sejajar pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Pengubahsuaian bajet itu yang akan dibentangkan tidak lama lagi, antara lain akan membabitkan langkah mengoptimumkan perbelanjaan, mengambil kira peranan syarikat berkaitan kerajaan dan memastikan kerajaan terus menjaga kesejahteraan rakyat.

Di peringkat orang ramai, pengubahsuaian bajet individu misalnya boleh dilaksanakan dengan menangguh atau membatalkan perbelanjaan tidak perlu atau mendesak. Ini termasuk pembelian kereta baharu, jika kereta lama masih boleh digunakan; pembelian kelengkapan rumah baharu; pengubahsuaian rumah; dan melancong ke luar negara, kecuali untuk menunaikan umrah atau haji.
Bagi pembelian keperluan harian, orang ramai juga boleh membeli secara pukal melalui koperasi di tempat mereka bekerja atau di Kedai Rakyat 1Malaysia, yang menawarkan harga berpatutan; berkongsi kenderaan ke tempat kerja; kurang makan di luar; meminimumkan percutian; berjimat dalam penggunaan utiliti dan telefon mudah alih.

Namun, bagi golongan berkemampuan dan tidak terjejas dengan suasana kelembapan ekonomi semasa, mereka boleh meneruskan corak perbelanjaan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing. Cuma, sekiranya mereka turut dapat menyumbang terhadap langkah penjimatan kerajaan seperti kurang melancong ke luar negara atau kurang membeli barang import, ia sekurang-kurangnya dapat mengelak pengaliran atau ketirisan ringgit ke luar negara.

Salah satu cara untuk meningkatkan kesan pengganda di dalam ekonomi adalah dengan mengurangkan ketirisan proses kitaran ekonomi negara.

Jika berlaku ketirisan, kesan pengganda berlaku di negara asing, iaitu setiap ringgit yang dibelanjakan akan menjana pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.

Akhir kalam, dalam persekitaran ekonomi mencabar dan tidak menentu sekarang, orang ramai perlu menghadapi realiti serta berusaha untuk hidup dalam kemampuan masing-masing.
 Ini bagi membolehkan kita lebih bersedia, sekiranya senario lebih buruk berlaku pada masa hadapan.
Share this post :

+ comments + 1 comments

20 January 2016 at 21:37

This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER